Sunday, 23 June 2013

Pantai Batu Burok


Setelah selesai majlis persandingan anak saudara saya iaitu lebih kurang pukul 4.00 petang, kami telah balik semula ke penginapan kami di Homestay Pak Aziz.  Selepas solat asar, kami berjalan-jalan ke Pantai Batu Burok.  Cantik sungguh pemandangan di Pantai Batu Burok ini.

Pantai Batu Burok merupakan sebuah lagi tempat rekreasi dan riadah yang paling hampir dengan pusat bandaraya. Jarak 1-2 Km dari pusat bandar menjadikan pantai ini tumpuan pengunjung. Pantai yang dijaga bersih merupakan antara pantai paling terkenal di Terengganu. Kedudukan yang strategik yang hampir dengan bandar membolehkan ia dikunjungi oleh bukan sahaja pengunjung dari luar malahan penduduk tempatan. 

Antara aktiviti yang boleh dijalankan di sini ialah, beriadah seperti bermain bola sepak pantai, berkuda dan berjoging. Di sini juga terdapat gerai menjual layang-layang untuk pengunjung yang ingin bermain kerana didorong oleh kawasan pantai ini yang sentiasa berangin. Harga untuk layang-layang ini adalah antara RM8.00 -RM15.00 bergantung kepada saiz dan coraknya.

Pengunjung yang ingin merasa makanan laut bercelup tepung dan keropok lekor boleh mendapatkannya di gerai-gerai yang terdapat di sepanjang pantai ini dengan harga yang berpatutan dan pilihan yang pelbagai. Selain itu di kawasan ini juga terdapat 2 restoran makanan segera iaitu KFC dan A&W yang beroperasi sejak sekian lama. Terdapat sebuah dataran di pantai ini yang mana tempat dilangsungkan aktiviti seperti Pameran, Expo, Jualan dan Karnival. 

Perjalanan ke sini boleh menggunakan teksi dengan bayaran antara RM5-10 dan bas dari pusat bandar. 

Kepada pengunjung yang berminat menaiki kereta kuda ini caj yang dikenakan amat berpatutan iaitu dewasa RM 5 dan kanak-kanak hanya RM 3 sahaja untuk dua pusingan. Jika berkunjung ke sini jangan lepaskan peluang untuk mencuba menaiki kereta kuda ini.

Aktiviti lain, termasuk menunggang kuda padi, bermain layang-layang, berkelah, menunggang `ATV Motor' dan pelbagai riadah yang boleh mengeratkan hubungan antara keluarga. 

Jom tengok gambar-gambar yang saya ambil.  Cantik kan?  Indahnya ciptaan Tuhan.











No comments:

Post a Comment