Saturday, 29 June 2013

Tasik Bukit Layang-Layang


Selamat pagi semua!  Hari ini cuaca nampaknya baik.  Jerebu sudah berkurangan.  Bolehlah saya dan hero kenit keluar rumah pagi ini.  Beginilah rutin saya setiap Sabtu atau Ahad.  Jika cuaca mengizinkan, kami berdua akan ke Tasik Bukit Layang-Layang untuk senamrobik atau berjalan-jalan di sekitar tasik.  Hari Sabtu hanya kami berdua sahaja tetapi kalau hari Ahad, suami akan turut serta.  

Hero kenit saya ini suka sangat datang ke Tasik Bukit Layang-Layang ini.  Dia suka bermain bola dipadang.  Selepas penat bermain, kami akan duduk di tepi tasik sambil bersarapan.  Seronoknya saya menghabiskan masa dengan anak.  Masa bekerja dahulu, hanya hari Ahad sahajalah masa saya untuk membawanya berjalan-jalan ke sini.  Tetapi sekarang, Alhamdulillah, sejak duduk di rumah, banyak masa terluang bersama dia.  

Jom saya ceritakan serba sedikit mengenai Tasik Bukit Layang-Layang. Bagi penduduk kawasan sekitar Pasir Gudang, Taman Bandar Pasir Gudang tersebut lebih dikenali sebagai "Tasik" atau "Bukit Layang-Layang" Pasir Gudang. Lokasinya bersebelahan dengan Masjid Jamek Pasir Gudang dan Litar Pasir Gudang.  Banyak aktiviti riadah boleh dilakukan di sini seperti berjogging, memancing, bermain layang-layang, berbasikal dan lain-lain.  Bukit Layang-Layang merupakan tempat yang selalu diadakan Pesta Tahunan Pertandingan Layang-Layang Antarabangsa dan di situ letaknya Muzium Layang-Layang.  Setiap pagi atau petang, di sinilah penduduk Pasir Gudang akan meluangkan masa mereka bersama keluarga.  




No comments:

Post a Comment