Saturday, 29 June 2013

Tips Sihat










Hari ini saya nak berkongsi mengenai tips sihat dengan mudah.  Banyak cara kita boleh sihat.  Kita memang perlukan wang untuk sihat, makan, pakaian, hiburan dan lain-lain keperluan hidup.  Tetapi kalau sudah sakit, wang bukanlah segala-galanya.  Betul tak?  Semasa sihat inilah kita perlu menjaga kesihatan dengan baik.

Tips saya mudah.  Kalau dah meningkat usia, lagilah perlu kita menjaga kesihatan dengan baik.

1)    Makan lebih banyak sayur-sayuran
Setiap kali makan, menu saya mesti ada sayur.  Daripada sayur, anda akan memperolehi vitamin A, B1, B2 dan C, protein dan garam galian seperti kalium, kalsium, fosforus, besi dan natrium. Namun sayur tidak boleh dimasak sehingga terlalu layu kerana akan menyebabkan zatnya hilang.  Selain kaya dengan zat pemakanan, sayur-sayuran juga mempunyai nilai perubatan. Biji timun misalnya dapat membantu mengeluarkan cacing yang mengganggu kanak-kanak ia mengandungi 'saponin'. Timun juga sesuai untuk kulit kerana ia mempunyai kesan membersih, menyejuk dan melembab. Ubi kayu pula dikatakan dapat membantu penyembuhan ulser.

2)    Utamakan Keluarga
Keluarga adalah sangat penting bagi saya.   Kadang-kadang ada orang yang jatuh sakit sebab terlalu kuat bekerja sehingga mengabaikan keluarga.  Sehinggakan hari minggu pun mesti kerja!  Orang putih cakap 'workhalic'.  Walau bagaimana pun  ada banyak definisi keluarga sebagai keutamaan. Namun terpulang pada tafsiran dan cara masing-masing bagaimana mereka mengutamakan keluarga. Setiap orang mungkin berbeza cara dan rasa, namun matlamatnya adalah sama.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW : "Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang engkau gunakan untuk bersedekah kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk keluargamu - yang paling besar ganjarannya ialah dinar yang engkau belanjakan untuk keluargamu."

(Hadith riwayat Muslim – no. 2358)

          Huraian:
Begitulah kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW begitu mementingkan soal kebajikan keluarga yang diletakkan tanggungjawabnya ke atas ketua keluarga – Ayah atau Suami.

3)    Berjalan kaki  
Saya suka jalan kaki sebab banyak kebaikannya.  Berjalan kaki adalah senaman yang mudah, murah dan selamat untuk dilakukan. Ia merupakan satu kaedah senaman yang sesuai bagi semua lapisan peringkat umur. Senaman ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja sama ada di rumah, di pejabat, di kompleks membeli-belah dan lain-lain lagi.

4)    Aktiviti luar
Banyak aktiviti luar yang boleh kita lakukan seperti berjogging, memancing, berenang, bermain bola dan macam-macam lagi.  Semasa inilah kita boleh meluangkan masa bersama ahli keluarga setelah seharian penat berkerja.

5)    Sentiasa berterima kasih.  Hargai apa yang anda perolehi.
Untuk hidup lebih tenang, jangan mengharapkan terima kasih seperti di dalam Solusi isu 43 berkaitan dengan "Sukarnya Untuk Bersyukur". 
Tidak dinafikan manusia agak sukar untuk mengucapkan ucapan terima kasih. Seolah-olah perkataan itu seperti emas berharga yang takut hilang jika mulut dibuka.  Sentiasa hargailah orang-orang disekeliling kita terutamanya ibu bapa, adik beradik serta saudara mara dan rakan taulan. 

Apa salahnya ucapan terima kasih itu sentiasa hadir dalam diri kita walaupun pertolongan yang diberikan hanya sekecil zarah.  Kadang-kadang ada di kalangan kita yang sudah berjaya hasil daripada pertolongan orang lain, agak sukar untuk mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah membantunya walaupun pertolongan individu itu hanyalah tidak seberapa. Malah ada yang secara terang-terangan melupakan terus individu yang telah membantunya itu.

Mudah-mudahan diri kita sentiasa ada sifat berterima kasih dan bersyukur dengan kurniaan Allah.  Terlalu banyak nikmat yang Allah beri pada kita setiap hari namun hakikatnya sedikit sekali hamba-Nya yang bersyukur. Syukur adalah satu penghargaan yang tinggi daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Dengan syukur, Allah akan menambah nikmat-Nya kepada kita seperti dalam Surah Ibrahim ayat 7,

" Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu."  






















No comments:

Post a Comment