Friday, 26 July 2013

Bubur Nasi Herba


Baru balik dari Pasaraya Jiason.  Beli barang-barang yang nak dimasak untuk berbuka puasa hari ni.  Semalam agak sibuk.  Jadi beli kuih sahaja.  

Semalam tengok rancangan Selera M&S di TV1.  Nampak sedap dan menarik menu yang dimasak oleh Chef Norazlina Nordin. Jadi hari ini menu adalah Bubur Nasi Herba dan Agar-agar Berkuah seperti chef masak semalam.  Harap menjadilah!

En. suami setiap hari berbuka mesti ada nasi.  Saya pula suka menu bertukar setiap hari.  Kadang-kadang mee, laksa, Nasi Kerabu, Nasi Ayam dan lain-lain.  Suami tak suka nasi selain dari nasi putih.  Kalau teringin nak makan menu lain, saya masaklah sedikit untuk saya seperti minggu lepas saya buat Nasi Arab Mandhy dan Laksa.  Nasi putih mesti ada untuk dia.

Jadi hari ni saya nak masak Ayam Berlada untuk suami dan Bubur Nasi Herba untuk saya dan anak.  Ditambah dengan Agar-agar Berkuah.  

Jom kita tengok resipi kedua-dua menu ini :

BUBUR NASI HERBA
Bahan-bahan:
1 cawan beras siam / wangi
1500 ml air
1 sup bunjut
3 cm halia – hiris
2 ulas bawang putih - titik
1 helai daun pandan - simpul
50 gm ikan bilis – goreng, tumbuk
6 sudu besar bawang goreng
6 tangkai daun kesum – hiris
6 tangkai daun selom – hiris
6 tangkai daun kemangi – hiris
1 biji kentang – dadu
Garam, serbuk lada hitam, daun bawang, cili merah

Cara membuat:
1. Jerang beras, air, sup bunjut, halia, bawang putih dan daun pandan.
2. Masak hingga beras kembang.
3. Masukkan ikan bilis, separuh bawang goreng, semua dedaun dan kentang.
4. Renih hingga pekat dan kentang empuk.
5. Tambah garam dan serbuk lada hitam.
6. Hias dengan daun bawang, bawang goreng dan cili.

 




AGAR-AGAR BERKUAH
Bahan Agar-agar:
50 gm tepung jagung
1 biji kuning telur
500 ml air - kisar & tapis
6 helai daun pandan - kisar & tapis
200 ml susu segar
200 ml Santan M&S
80 gm gula pasir
1½ sudu besar serbuk agar-agar
Pewarna hijau
Garam

Bahan Kuah:
1½ sudu besar tepung beras
250 ml Santan M&S
1 helai daun pandan – simpul
Buah-buahan koktel (jika suka)
Garam

Cara membuat:
1. Larutkan tepung jagung dan kuning telur dengan sedikit air pandan.
2. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan semua bahan lain.
3. Kacau diatas api sederhana hingga pekat.
4. Angkat dan isikan ke dalam bekas agar-agar.
5. Biar keras kemudian simpan di dalam peti sejuk.
6. Untuk kuah, larutkan tepung beras dengan sedikit santan.
7. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan garam dan daun pandan.
8. Kacau atas api perlahan sampai pekat. Sajikan bersama buah-buahan.






Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment