Sunday, 14 July 2013

Jangan Berkira Dengan Allah


Assalamualaikum wbt

Semasa saya menulis artikel ini, hujan lebat di luar.  Alhamdulillah. Tergerak hati untuk berkongsi sedikit pandangan dan muhassabah diri. 

Berkira dengan ALLAH? Kadang-kadang ya. Realitinya ya. Sebagai contoh, kita boleh menonton tv berjam-jam lamanya. Drama, filem dan sebagainya. Menghabiskan masa 4-5 jam atau seharian melayari internet, facebook, bertwitter, berwhatsapp, chatting, game dan lain-lain lagi.  

Kita dilahirkan dengan penuh kesempurnaan. Allah yang menjadikan kita. DIA sentiasa merahmati dan membahagiakan hidup kita. Kita minta hujan, kadang-kadang Dia bagi kita kemarau. Kita minta senyuman, tapi Allah hadirkan tangisan. Kita berdoa minta murah rezeki melimpah ruah, tapi Allah beri kita kemiskinan.

Semuanya ujian dari Allah. Allah hanya memberi ujian untuk hambaNya yang terdaya untuk menerima. Adakah kita marah? Tidak adil? Kembalikah kepada Allah. Mengadu padaNya. Allah yang cipta kita dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita sentiasa berada di dalam perancangan Dia.

Ujian adalah sebab Allah sayangkan hambaNya. Berbagai persoalan sentiasa bermain di minda kita tatkala diri kita diuji dan hampir berputus asa. Ada sebab kenapa dan mengapa Allah turunkan ujian pada kita. 

Hati tidak tenang? Ada ubatnya. Ingat Allah dan yakin padaNya. Al-Quran diturunkan penuh mukjizat. Baca dan kaji maknanya. Semuanya dari Allah dan lengkap isi kandungannya. Fikirkan sejenak. Dalam sehari kita boleh membuka akaun Facebook berjam-jam lamanya. Twitter beratus-ratus tweet, entri blog mencurah-curah idea menulis, tetapi berapa kali kita baca Al-Quran? 

Saya juga menegur diri saya sendiri kerana terlalai kadang-kala. Solat awal waktu? Banyak yang perlu di perbaiki. Syaitan kreatif dan inovatif fikirannya untuk menyesat dan melalaikan kita.

Kalau tidak mampu baca Al-Quran satu juzuk sehari, cukuplah dengan satu muka. Baca dan hayati maknanya. Jangan langsung tidak membacanya. Jangan kita berkira dengan Allah sebab nanti Allah pun akan berkira dengan kita. Jika kita tidak berkira dengan Allah dan redha dengan ketentuanNya, nescaya Dia juga tidak akan berkira sangat dengan kita di Akhirat kelak dan redha dengan kita. Selangkah kita datang kepada Allah seribu langkah Allah dekat dengan kita. Bila merenung diri masih banyak perkara yang kita berkira dalam beribadat kepada Allah. Allah sentiasa ada dengan kita dan jangan sesekali kita menjauhkan diri dari Dia.

Kasih sayang Allah luas. Jadi kenapa kita tidak buat apa yang Dia suruh? Siapa yang beri kita rezeki, makan, bernafas, nikmat, udara, air? Kalau kita tidak buat apa yang dia suruh seperti solat, puasa, Dia marah tak? Marah kan? Tetapi Dia masih bagi kita rezeki, bernafas, minum, makan, nikmat, sihat. Jadi apa yang kita hendak lagi? Luasnya kasih dan rahmat Allah. Langsung tidak berkira dengan kita, tetapi kita pula yang berkira dengan dia. Jaga solat, jaga iman, ikut pesanan Dia. Jangan mudah lalai dan hanyut dengan persekitaran yang sentiasa menggugat keimanan kita. Syaitan sentiasa mahu menyesatkan manusia.

Semoga titipan ini menjadi peringatan kepada kita. Pesanan untuk diri saya dan buat semua. 






No comments:

Post a Comment