Monday, 8 July 2013

Rezeki


Rezeki ada dimana-mana.  Yang bagi rezeki adalah ALLAH.  Bos besar kita adalah ALLAH.  DIA yang tentukan rezeki dan bukannya CEO atau Pengurus Besar.  Bukan manusia.
 
Sebenarnya menjemput rezeki itu adalah mudah dari mencari rezeki.  Yang penting kita berusaha dan bertawakkal.  Saya baru sahaja habis membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki.  Banyak informasi menarik di dalam buku ini.  Mudah sebenarnya dan cuma kita sebagai hambaNya yang patut tahu bagaimana untuk bertindak ke arah itu. 

Saya menulis artikel ini di waktu pagi hari.  Sekitar jam 3 pagi.  Saya tertidur tatkala menidurkan anak tadi.  Bila terjaga jam menunjukkan pukul 2.30 pagi.  Lantas saya bingkas bangun untuk menyambung catatan harian saya pada hari ini.  Apa yang saya nak kongsikan dengan anda hari ini ye?  Terus terlintas difikiran saya tentang rezeki.  Banyak sebenarnya yang boleh kita simpulkan tentang rezeki ini.  Allah memberi kita rezeki dengan berbagai cara.  Rezeki anak, rezeki sihat tubuh badan, harta dan lain-lain.

Apakah maksud rezeki dalam Islam?  Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam.  Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Saya ada terbaca petua murah rezeki melalui sumber bacaan keluaran Telaga Biru dari buku ‘101 Petua Murah Rezeki dan Jauhi Hutang’.   Erti murah rezeki ialah rezeki yang mudah atau senang didapati setelah berusaha dan berikhtiar dengan jalan yang halal.  Rezeki yang diperolehi itu pula mencukupi keperluan keluarga.  Erti mencukupi bukanlah sehingga ke tahap membazir.

Marilah kita sama-sama berkongsi bagaimana cara untuk mendapatkan kemurahan rezeki yang mencukupi buat kita sekeluarga.   Semoga kita dapat mengamalkan petua-petua dan rahsia-rahsia dibawah ini :

1)  Beristighfar dan bertaubat
2)  Bertaqwa kepada Allah swt
3)  Sentiasa mengingati Allah swt
4)  Bertawakkal kepada Allah selepas berusaha
5)  Beribadah sebenar-benarnya kepada Allah swt
6)  Mengerjakan Haji dan Umrah
7)  Bersedekah secara istiqamah
8)  Menjalin silaturrahim
9)  Membantu golongan miskin
10) Membantu penuntut ilmu
11) Memperbanyakkan doa
12) Berhijrah untuk mencari pendapatan ditempat yang lain
13) Bersyukur atas nikmat
14) Melibatkan diri dengan perniagaan
15) Bersungguh-sungguh melakukan pekerjaan yang harus

Alalh swt berfirman dalam Surah Al-Ra'd : 26 
Maksudnya :  Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya.  Dan mereka yang ingkat bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal, berbanding dengan kesenangan di Akhirat
Wassalam
 





No comments:

Post a Comment