Friday, 15 November 2013

Nikmat Berganda


Bismillah.  Syukur Alhamdulillah tidak terhingga kepadaMu Ya Allah membolehkan hambaMu masih bernafas dan dapat lagi bersama famili.  Pagi ini tugasan di rumah selesai di awal pagi.  Perlu pantas dan laju.  Tiada masa senggang untuk bersantai.  Hari ini bersarapan Mihun Sup.  Setelah selesai bersarapan bersama anak, saya terus menyambung memasak untuk makan tengahari pula.  Menu tengahari ini ialah Sup Telur dan Sambal Lontek.  Untuk anak yang tidak suka pedas, saya buat Sup Telur dan Sambal Lontek untuk suami yang suka pedas.  Sambal ini adalah sambal orang Jawa.  Suami saya keturunan Jawa, jadi sambal ini adalah kegemaran dan kemestian untuk mereka setiap kali ada kenduri kendara.  Satu lagi menu kegemaran mereka adalah Sambal Goreng.  

Untuk membuat Sambal Lontek ini mudah sahaja.  Untuk yang ingin mencubanya, saya kongsikan resipi, tetapi tidak ikut sukatan.  Hanya agak-agak sahaja.  Anda boleh mengikut citarasa anda jika hendak pedas atau tidak.

Bahan-bahan :
4 biji lada merah atau cili api (ikut citarasa anda)
1 biji bawang besar
Sedikit ikan bilis

Cara-cara :
1)  Goreng ikan bilis tapi tidak terlalu garing.  Angkat dan ketepikan.  
2)  Goreng lada merah dan bawang besar hingga layu.
3)  Setelah itu tumbuk kesemua bahan-bahan ini tetapi tidak terlalu lumat.  
4)  Siap.  Sedap dimakan bersama nasi panas.

* Saya tidak tambah garam atau serbuk perisa (ajinomoto) sebab ikan bilis sudah ada rasa masin.  Untuk yang mahu letak, terpulang tetapi jangan lebih-lebih ya.  Jaga kesihatan anda.

Selamat mencuba. 

Semalam juga mendapat perkhabaran gembira dari En. Suami.  Alhamdulillah rezeki dariNya.  Rezeki anak ku juga.  Apa dia?  Saya akan kongsikan di lain entri ya.

Baiklah, sudah siap semua tugasan rumah, masa untuk saya membuat kerja di pejabat SOHO saya pula.  Banyak kerja hari ini.  Hendak menyiapkan fanpage baru, menyemak blog pelajar, menjawab PM pelanggan, menyemak pesanan pelanggan dan pelbagai lagi yang berkaitan.  

Kita sambung lagi ya.  






No comments:

Post a Comment